Selasa, 13 Oktober 2015

Latar Belakang Pesta Ikan Buntal


  • Spaoh ialah sebuah pekan dan Daerah Kecil (Sub-District) di Bahagian Betong, Sarawak, Malaysia. Jumlah penduduknya kira-kira 17,000 orang. Dibawah Daerah Kecil Spaoh ini terdapat perkampungan masyarakat Melayu, Iban dan Cina. Majoriti penduduk di kawasan ini adalah masyarakat Melayu. Antara kampung yang dihuni masyarakat Melayu yang terdapat dalam pentadbiran Daerah Kecil Spaoh meliputi Kampung Spaoh, Kampung Balingan, Kampung Bungin, Kampung Sebemban, Kampung Tanjung Assam, Kampung Serembang, Kampung Buda, Kampung Manggut, Kampung Supa dan Kampung Medang. Kawasan ini popular dengan Pesta Ikan Buntal yang diraikan saban tahun kerana terdapat banyak ikan tersebut ditangkap dan cukup popular yang dijual di pasar-pasar di Pekan Spaoh dan Bandar Betong.
  • Pesta Ikan Buntal telah diwujudkan pertama kalinya pada 6 hingga 7 Ogos tahun 2002 bertempat di Kampung Manggut iaitu salah sebuah kampung di dalam kawasan Daerah kecil Spaoh bagi Daerah Betong, Sarawak. Kewujudan Pesta Ikan Buntal adalah hasil daripada cetusan idea daripada Yang Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu ak Numpang iaitu Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan  dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sarawak pada ketika itu. Pesta Ikan Buntal tersebut buat pertama kalinya juga telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu ak Numpang iaitu Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan  dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sarawak.
  • Kampung Manggut terletak kira-kira 1 jam perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dari Bandar Betong (melalui jalan utama Kuching ke Sibu). Kampung Manggut dan kampung-kampung di sekitarnya memang terkenal dengan penangkapan dan penjualan Ikan Buntal. Ikan Buntal yang kebanyakannya terdapat di sini ialah daripada spesis Ikan Buntal Kuning atau nama sainstifiknya lagochepalus lunaris.  



  • Sebelum ini, Pesta Ikan Buntal telah diterajui dan diurustadbir oleh Pejabat Residen Bahagian Betong dengan kerjasama Pejabat Daerah Betong dan jabatan-jabatan kerajaan yang lain di Daerah Betong. Namun kini, bermula dari tahun 2015, maka Pesta Ikan Buntal diterajui dan diuruskan oleh Majlis Daerah Betong dan dibantu oleh jabatan-jabatan kerajaan, pihak-pihak swasta dan komuniti setempat di Daerah Betong. Justeru itu, pada 18 dan 19 Julai setiap tahun, maka Pesta Ikan Buntal akan menjadi Acara Tahunan Pelancongan di dalam Kalendar Pelancongan Negeri Sarawak.
  • Kesimpulannya, di atas sokongan yang padu dan berterusan daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat, ketua-ketua masyarakat, jabatan-jabatan atau agensi-agensi kerajaan atau swasta, NGOs (Non-government organization), penduduk atau komuniti setempat, maka Pesta Ikan Buntal ini akan menjadi pemacu dari aspek ekonomi, sosial dan politik serta daya tarikan utama pelancongan di Bahagian Betong.





















































Tiada ulasan:

Catat Ulasan